Dalang kes pecah rumah tumpas 

 
Dalang kes pecah rumah tumpas
Tengku Mohd Zailan (tengah) menunjukkan antara barang curi yang dirampas.

KANGAR - Dua sahabat dari Perlis dan Kedah ditangkap polis dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di sebuah rumah Jalan Tambun Tulang, Simpang Empat, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perlis, Superintendan Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, hasil penahanan kedua lelaki terbabit menerusi Ops Lejang, pihaknya turut mendapati mereka positif dadah semasa ujian saringan air kencing.

Katanya, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu, polis percaya berjaya menyelesaikan beberapa kes kejadian pecah rumah dan curi kenderaan yang berlaku di dua negeri terbabit.

“Mereka ini kita dapati turut mempunyai rekod jenayah iaitu lelaki yang berasal dari Perlis berusia 31 tahun ini ada tujuh rekod jenayah lampau dan satu melibatkan kes dadah.

“Manakala lelaki berasal dari Kedah pula mempunyai dua rekod jenayah iaitu terlibat dalam kes pecah rumah pada 2009 dan curi dalam bangunan pada 2011 di sekitar Jitra,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tengku Mohd Zailan berkata, antara barang yang dirampas dalam serbuan terbabit adalah sebuah kereta, pembesar suara, pemain cakera padat digital (DVD) dan video cakera padat (VCD), mesin pengimbas serta beberapa barangan lain.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan denda.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk menjejaki rakan kumpulan kedua-dua suspek ini yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Kedah dan Perlis," katanya.